Sebelum Merdeka kami tinggal di Kampung Seputeh, di pinggir kota raya Kuala Lumpur. Teratak papan yang sudah usang beratap zink terletak
di pinggir Sungai Klang. Hampir semua warga setinggan di sini bekerja
keras ‘kais pagi makan pagi’ untuk
menyara kehidupan. Rata-rata rumah berdinding papan dan bahan kayu terbuang, beratap
zink, kecil lagi padat serta tiada
kemudahan api dan air paip. Ramai yang tidak
mempunyai pakaian yang sempurna. Walaupun lusuh, ia kelihatan bersih dan tidak
semak mata memandang. Tidak ada antara
penduduk yang dikenali yang menggemis dan meminta-minta dengan alasan
kemiskinan, sebaliknya mereka berusaha sekadar yang mampu mencari rezeki secara
halal.
Komuniti
majmuk Cina, India dan Melayu di sini
hidup aman dan damai tanpa sebarang kes kecurian, rusuhan dan
pergaduhan, cuma rumah-rumah
kejiranan bertaburan kerana masing-masing
mendirikan rumah di mana-mana lokasi yang mereka suka atas tanah kerajaan yang
diduduki secara haram. Kami sangat
bertuah berbanding mereka yang tidak berpeluang mendapat tempat dan terus merempat. Di mana juga kita
tercampak, kita seharusnya menghargai
setiap inci daripada bumi Tuhan. Ambil iktibar daripada mereka yang telah lama
berada di situ. Di samping itu berusaha mencari peluang yang boleh dijadikan
pemangkin untuk mendapat rezeki dan bekalan untuk meneruskan kehidupan.
Comments
Post a Comment