Ikan-ikan di lombong bergantung hidup pada sumber alam semula jadi. Mereka tidak akan mati kelaparan. Allah telah menyediakan plankton dan pelbagai makanan lain di sekeliling dan di dasar lombong.
Tabiat ikan suka benda-benda yang timbul di permukaan air. Ikan-ikanyang lapar berebut-rebut makan apa sahaja yang disangkanya makanan.
Sebab itu aku tidak lupa membawa sedikit biskut atau nasi setiap kali datang ke lombong. Seronok dapat bermain-main dengan ikan.
Sebagai budak lelaki yang aktif, aku berhajat mahu terjun dan mandi di dalam lombong. Iyalah, mandi air perigi dan di pelantar lombong, aku sudah biasa. Yang ini aku tak pernah dapat.
Akhirnya peluang itu tiba. Suatu petang, aku pergi seorang diri ke lombong tempat emak membasuh kain, tanpa pengetahuan sesiapa.
Sampai sahaja, aku melucutkan baju dan perlahan-lahan masuk ke dalam air, sambil tangan berpaut pada pelantar.
Memang menakutkan!.
Kaki tergantung di dalam air kerana dasarnya tidak mungkin dapat dipijak.
Kedalaman lombong tidak dapat dibayangkan. Ngeri!
Allahu Akbar, seram sejuk apabila sudah berada di dalamnya.
Air begitu banyak dan aku berendam hingga paras dagu. Aku tidak tahu berenang tapi memberanikan diri kerana sudah lama teruja hendak mandi di lombong.
Takut bercampur seronok, menimbulkan keghairahan dan keberanian luar biasa. Selepas beberapa ketika, rasa takut mulai reda dan perlahan-lahan hilang.
Puas berendam, aku naik ke pelantar dan balik ke rumah.
(Petikan dari Budak Kampung Congo, Bab: Tangisan Mandi Lombong)
Comments
Post a Comment