Skip to main content

KISAH SEORANG JURUTERA



Pada tahun 1980 saya diterima bekerja di Jabatan Parit dan Tali Air Malaysia (Jabatan Pengairan dan Saliran)  di Kuala Lumpur sebagai Jurutera di Bahagian Haidrologi. Itulah pertama kali saya bekerja dengan kerajaan. Masa mula bekerja, saya menggunakan pengangkutan awam untuk berulang-alik. Untuk kerja luar, saya dibawa ke lokasi dengan menggunakan Land Rover Jabatan. 

Mula-mula masuk kerja, pengetahuan kerja memang kosong dan gelabar, tak tahu apa nak buat, sebab kerja tersebut bukan bidang kemahiran saya. Bos minta saya buat graf curahan hujan dan paras air sungai sungai di Semenanjung Malaysia, saya buat apa yang disuruh. Untuk dapatkan maklumat, saya pergi ke beberapa sungai yang menjadi penanda aras banjir dan stesen hidrologi. 

Selang beberapa bulan saya mulai memahami tugas. Saya di dalam tim yang terlibat dalam kerja-kerja tebatan banjir dan pengurusan dataran banjir. Kami mengenal pasti kawasan-kawasan yang sering dilanda banjir dan menyediakan plan tindakan. Banjir akan membawa bencana besar, kerugian ekonomi dan gangguan social, sebab itu  kerja penyelenggaraan sungai dan tebatan banjir perlu dilakukan setiap tahun. 

Saya mengumpul maklumat curahan hujan dan paras air sungai dari stesen haidrologi, stesen curahan hujan dan stesen paras sungai.  Maklumat tersebut digunakan untuk perancangan kejuruteraan sungai. Bagaimanapun, tugas saya di Jabatan tersebut tidak lama. Tidak sampai setahun saya meninggalkan Jabatan untuk menyertai sebuah syarikat swasta sebagai Jurutera Pembangunan Produk.

Jawatan baru saya di dalam sektor swasta amat mencabar.  Karier  baru saya lebih tertumpu kepada bidang teknikal yang menggunakan pengetahuan kejuruteraan. Bekerjasama dengan jurutera-jurutera berpengalaman banyak membantu mempercepatkan proses pembelajaran.  

Berbagai usaha telah dilakukan bagi  menyesuaikan jentera Mesin Penuai Padi Laverda (dari Italy) supaya ia sesuai digunakan dalam cuaca tropika dan corak rupa bumi  di Malaysia. Mesin tersebut yang asalnya hanya untuk menuai gandum berjaya diubahsuai  untuk bekerja melewati masa embun turun. 

Tapak besinya juga lebih baik dari ciri asal dan berupaya bekerja di dalam sawah padi yang berlumpur. tanpa terbenam. Keupayaan dan prestasi yang ditingkatkan  menghasilkan ‘output’ yang memberangsangkan. Pendekkan cerita, apabila jentera-jentera pertanian tersebut telah dibangunkan keupayaannya dan diterima masyarakat tempatan, saya telah diserap ke dalam bahagian pemasaran untuk meningkatkan jualan.
Laverda Combine Harvester
(Penulis -paling kiri)

Banyak kisah-kisah suka duka terpaksa saya lalui apabila beralih angin. Namun saya tekadkan hati untuk meneruskan bidang baru. Allah menunjukkan saya jalan ini dan saya tidak lagi menoleh ke belakang.

Selepas beberapa waktu, pekerjaan dan tugas baru jauh lebih mencabar. Saya mula menyelami kemanisan dan keperitan untuk mencapai sasaran. Saya mula faham kenapa bos-bos saya dan jurujual-jurujual sering menjadi sasaran di dalam mesyuarat jualan. Kenapa mereka juga mampu membeli kereta baru dan mempunyai gaya hidup yang lebih mewah, semuanya terjawab apabila saya menjadi sebahagian daripada mereka. 

Tidak berakhir di sini kerana tugas baru membuka ‘horizon’ pemikiran yang kritis.  Ia juga membuka ruang untuk saya pergi lagi jauh. Bukan setakat berpindah dari satu tempat dan cawangan ke satu tempat dan cawangan yang lain, saya mula terlibat dalam tiga sektor utama pemasaran produk iaitu jualan produk, alatganti dan serbis selepas jualan.

Menariknya cabaran saya hari demi hari bertambah. Dulu waktu muda-muda, saya tidak pernah membantah melakukan sebarang pekerjaan. Tiada siapa yang sangka, tiada siapa peduli, demi tugas, saya telah bekerja melewati batasan waktu. Hanya Tuhan dan Bos terdekat saya sahaja yang tahu, faham dan menghargai setiap pengorbanan yang saya lakukan kerana Allah dan untuk mencapai KPI dan sasaran yang telah ditetapkan di dalam Plan Pengurusan.

Saya akui memang banyak peristiwa menarik sepanjang penglibatan saya di dalam bidang pemasaran dan jualan. Peristiwa sedih dan lucu, suka duka menjadi sebahagian hidup saya. Peristiwa peristiwa yang saya alami itu juga yang terus mendewasakan saya. 

Walaupun kerjaya saya tidak menjadikan saya orang kaya-raya, ia mengajar saya erti kehidupan. 

Sehingga kita  jumpa lagi.

Comments

Popular posts from this blog

JOM MENGAJI

Al-Quran adalah sebuah Kitab yang indah penuh kesenian yang membawa mesej dari Allah. Ia mengandungi  cerita-cerita nabawiah serta hukum dan peraturan.  Kita tidak akan mencintai  Allah dan Rasul jika kita tidak mencintai kitabNya.  Mengapa tidak?  Tidak tahu membaca AlQuran satu perkara dan tidak memahami apa yang terkandung di dalamnya satu  perkara lagi. Sekurang- kurangnya kita boleh memahami apa yang kita baca melalui terjemahan AlQuran. Kita juga boleh membaca tafsirnya . Tetapi  adakah kita berasa puas setakat hanya membaca terjemahan dan tafsir?. Tentulah lebih seronok dan yakin jika kita boleh membacanya. Kerap membaca dan membaca secara berguru akan memjadikan bacaan kita lebih baik dan betul.  Bacaan yang baik akan diberkati. Bacaan yang salah akan dicela.  AlQuran akan mendampingi  dan menerangi  kita di alam kubur.  Banyak lagi kelebihan membaca AlQuran. Elok mulakan sekarang jika belum lagi membacanya. Mula-mu...

TOUCH N GO

Bagaimana kad TouchNGo digunakan oleh kebanyakan rakyat Malaysia menarik perhatian.  Kadang-kadang  saya rasa pelik melihat gelagat  mereka. Bukan tak tahu menggunakannya tetapi sikap mereka yang selalu tidak sabar dan kurang toleransi. Ramai orang asing yang datang ke Malaysia memuji rakyat Negara ini yang ramah dan sopan tetapi apabila mereka berada di atas jalanraya, sikap dan perangai mereka boleh berubah 360 darjah. Di atas jalan raya Malaysia, kebanyakan rakyat Malaysia kurang sopan, berlagak saperti samseng, jadi pembuli jalanan dan tidak menghirau peraturan jalanraya. Hairannya sikap mereka juga boleh berubah menjadi baik bila berada di Negara orang. Sebagai contoh, Ketua Immigresen diTambak Johor memberitahu rakyat Malaysia boleh bersopan apabila berada di Singapura. Mereka boleh sabar beratur dan menunggu giliran dan arahan berjam-jam tanpa komplen dan buat bising.   Apabila mereka balik dan masuk ke Malaysia, mereka buat bising jika terpaksa menunggu...