Saya terpanggil untuk menukilkan tajuk ini apabila saya ditimpa penyakit batu karang. Kehadiran batu karang di dalam buah pinggang saya diketahui beberapa tahun dahulu semasa saya membuat pemeriksaan kesihatan tahunan.
Namun saya anggap kecil dan boleh diatasi. Setelah 6 tahun, ia datang dan memberikan igauan yang menakutkan. Tanda tanda awal adalah sakit yang amat sangat bila hendak kencing, diikuti dengan kencing berdarah. Barulah saya tersedar ada petunjuk dari Allah yang tidak boleh diabaikan.
Penyakit datangnya dari
Allah dan ia pergi kerana Allah. Allah telah menentukan sakit dan sehat
seseorang. Jangan sesekali mempertikaikan kenapa kita dapat sakit. Tentulah ada
hikmahnya yang Allah Maha Mengetahui. Allah memberi kita sakit, sesuai dengan
daya tahan hambaNya. Bila sakit barulah kita menyebut nama Allah lebih dari
semasa kita sehat.
Masa sakit kita rasa dukacita, murung dan kurang tertawa.
Kecuali orang beriman, mereka bersyukur atas penyakit yang menimpa diri kerana
penyakit itu kifarah dan penghapus dosa. Orang biasa biasa macam kita akan panik
dan gelabah.
Allah masih menyayangi
kita dan Dia hendak kita ingat dan sebut namaNya. Kita ditimpakan sakit kerana kita
melakukan dosa dan Dia hendak kita meminta keampunanNya.
Hanya apabila sakit
seseorang akan lebih tawaduk dan lebih dekat dengan PenciptaNya, untuk meminta
keampunan dan kesembuhan. Waktu itu baru kita hendak muhasabah diri. Kita wajib
muhasabah diri setiap waktu tetapi pengaruh duniawi sering melalaikan kita
berbuat demikian.
Waktu sehat kita tidak
lupa pantang larang. Sedikit sangat kita mengingati Allah dan mengamalkan
sunnah RasulNya. Kita asyik mengejar waktu, mengejar dunia, mengejar impian dan
menjamu nafsu dan selera dengan sedikit usaha untuk mengawal diri.
Makanan
lazat untuk yang kaya dan mewah. Negara kita lubuk makanan. Banyak makanan yang
berpotensi untuk mendatangkan penyakit. Waktu sehat kita suka mengguna pakai alasan
“makan dan nikmatilah segala kelazatan ketika kita sehat dan boleh makan.”
Apabila sakit kita akan
berusaha mencari penawar, cara moden dan juga cara perubatan alternatif. Kita akan bertanya semua orang, tanya doktor
dan google untuk mendapat input mengenai penyakit yang kita alami.
Kita akan
merantau ke sana sini untuk mencari ubat penyembuh. Setelah mengalami
keperitan hidup berpenyakit, barulah datang keinsafan, kesabaran, pengharapan
kepada Allah. Barulah ada keinginan mengeratkan semula silatulrahim jika telah
bersengketa.
Waktu itu kita mengharapkan doa dari ustaz, imam, emak abah, kawan
dan taulan.
Kalau sudah terdesak barulah kita ke surau atau masjid untuk solat berjemaah, kerana takut mati, takut penyakit boleh membawa ke ambang kematian.
Bukankah Allah itu Maha
Mengetahui dan Pengatur yang bijak.
Sakit membuatkan orang gagah jadi lemah, yang
mewah dan senang lenang jadi tidak tenang dan tidak tenteram. Yang sombong dan
bongkak, jadi macam harimau hilang taring. Yang lincah jadi macam kumbang putus
tali. Yang hebat pun boleh jadi lemah longlai.
Duit tidak mampu menahan
penyakit. Kepada Allah kita berserah. Marilah kita sentiasa muhasabah diri,
jaga kesihatan, tingkatkan amalan dan
jaga iman semoga Allah memberkati hidup kita dan dihindarkan kita dari mendapat
penyakit.
Comments
Post a Comment