Skip to main content

CATATAN HARIAN - EMAK KU SUPER MOM


Teks:  Zyed Ahmad Hassan

Mak Temah adalah panggilan glamor. Sebut nama Mak Temah semua orang kampung kenal Emak aku. Tapi anak anak buahnya panggil Emak aku Mak Besau. Dari mana dia orang semua dapat nama, walwahu’alam. Gara gara badan emak yang besar dan terbesar antara makcik makcik kami, agaknya panggilan tu melekat hingga ke akhir hayat emak.

Emak aku tiada pelajaran. Emak juga tiada adik beradik. Kalau ada pun, emak  tak tahu dimana kerana waktu emak kecil lagi, dia telah diserahkan oleh satu keluarga Cina kepada  Janom yang menjadi bapa angkat emak aku. Janom tu datuk kami yang memelihara emak sehingga dia di kahwinkan dengan abah. Datuk kami sangat sayangkan emak. Sebelum datuk meninggal dia telah mewariskan  dua bidang tanah tanaman kelapa kepada emak. Hasil dari tanah inilah emak dan abah membesarkan kami.

Emak adalah satu satu nya ibu yang sangat tabah. Didalam keperitan hidup itu, Allah memberikan aku seorang ibu yang sangat cekal dan tabah serta banyak daya usaha. Peringkat awal kehidupan kami teramat susah. Kami berpindah dari Kg Seputih  ke Kampong Kongo, Kg Jeram Sungai Sembilang dan dan  akhirnya  ke Kg Batu 20. Keluargaku boleh dikatakan daif juga. Pakaian kami selalu dihadiahkan  oleh sepasang suami isteri bangsa Cina dari tempat abah bekerja. Kadang kadang pasangan ini sendiri datang kerumah kami menyerahkan berbagai barangan dan keperluan dapur.
Abah bekerja dengan Inggeris sebagai Peon sehingga akhir hayatnya. Aku masih ingat, abah berulang ke Bandar Kuala Lumpur dengan bas. Emak bekalkan abah dengan semangkok nasi dan sebotol air. Tiada belanja lain. Abah membeli tiket bas bulanan. Abah pergi pagi dan balik malam, Kami jumpa abah hanya waktu malam dan hujung minggu.

Lain lain tugasan emaklah yang pikul. Memelihara 10 orang anak dengan berbagai kerenah. Gaji abah memang tak cukup. Sebab itu juga Kak Long kami kena berhenti sekolah untuk tolong emak dan abah. Dengan tiada pelajaran itu, emak berusaha membahagiakan kami. Emak ambil upah kerja sebagai  amah dengan satu keluarga Benggali.  Pendapatan tetap tidak cukup juga, emak jadi tukang masak pula dikantin sekolah. Waktu lapang emak naik keKuala Lumpur mencari kain dan barang barang untuk dijual. Bukan ada banyak duit. Emak pinjam dari Pak Anjang kami seorang guru yang terkenal diJeram.  Emak juga jadi agen karpet dan tikar dari seorang peniaga Pakistan. Orang Pakistan itu bagi emak stok percuma. Bila terjual, emak diberi upah.  Emak aku penuh dengan buah fikiran untuk menambah pendapatan. Dua bidang tanah pesaka yang diwariskan kepada emak tidak dibiarkan begitu sahaja, lalu dia berjumpa dengan pegawai Pertubuhan Peladang memohon baja dan benih koko untuk tanaman kontan dan sulaman. Abah tolong menguruskan pokok pokok tanaman, membersih kebun dan menanam biji benih. Hasil kelapa dan koko dan lain kerja yang emak buat itulah yang menampung kos kehidupan untuk menyekolahkan adik-adik yang lain.

Emak bercita cita besar. Lebih besar dari cita cita aku sendiri. Emak hendak aku masuk sekolah Inggeris, belajar rajin rajin masuk Universiti. Semua itu emak usahakan. Tak sangka emak aku macam orang politik, dia cakap apa yang patut dibuat dan aku laksankannya.  Aku pun masuk sekolah aliran Inggeris sehingga aku berjaya dalam peperiksaan LCE, MCE, HSC dan seterusnya melangkah kaki masuk ke Menara Gading. Kasih sayang emak tidak habis setakat itu sahaja. Masa aku diasrama dan masa aku diuniversiti, emak sanggup datang berjalan kaki dan menaiki bas dengan berbondong membawa bakul buah buahan. Sanggup dia datang dalam hujan dan panas semata mata kerana anak yang disayanginya. Aku tidak dapat membayangkan sekiranya aku hidup senang dan di datangi seorang ibu tua dengan  keadaan sedemikian, mungkin juga aku menjadi Si Tanggang. Na’uzubillah hi min zalik. Allah sayang pada emakku. Allah sayang padaku, hubungan kami semakin erat kerana aku benar benar sayang kepada emak dan sangat menghargai segala usahanya, perat jerihnya dan pengorbanannya. Wahai emak, aku sayang kepada mu!. 

Abah telah pergi menemui Penciptanya pada tahun 2002. Emak turut menyusul pemergian abah 11 tahun kemudian. Kini telah hilang segala kasih sayang. Setiap kali  aku mengingatkan kembali segala pengorbanan emak abah berjujuran air mataku. Tiada lagi tempat untuk aku mengadu. Rasanya terlalu cepat masa berlalu dan terlalu sedikit baktiku kepada mereka. Aku doakan semoga emak dan abah dihimpunkan dalam kalangan ahli jannah.  AlFatihah untuk emak abahku. Semoga Allah  mencucuri RahmatNya keatas mereka.


Comments

Popular posts from this blog

KISAH SEORANG JURUTERA

Pada tahun 1980 saya diterima bekerja di Jabatan Parit dan Tali Air Malaysia (Jabatan Pengairan dan Saliran)  di Kuala Lumpur sebagai Jurutera di Bahagian Haidrologi. Itulah pertama kali saya bekerja dengan kerajaan. Masa mula bekerja, saya menggunakan pengangkutan awam untuk berulang-alik. Untuk kerja luar, saya dibawa ke lokasi dengan menggunakan Land Rover Jabatan.  Mula-mula masuk kerja, pengetahuan kerja memang kosong dan gelabar, tak tahu apa nak buat, sebab kerja tersebut bukan bidang kemahiran saya. Bos minta saya buat graf curahan hujan dan paras air sungai sungai di Semenanjung Malaysia, saya buat apa yang disuruh. Untuk dapatkan maklumat, saya pergi ke beberapa sungai yang menjadi penanda aras banjir dan stesen hidrologi.  Selang beberapa bulan saya mulai memahami tugas. Saya di dalam tim yang terlibat dalam kerja-kerja tebatan banjir dan pengurusan dataran banjir. Kami mengenal pasti kawasan-kawasan yang sering dilanda banjir dan menyediakan plan tind...

JOM MENGAJI

Al-Quran adalah sebuah Kitab yang indah penuh kesenian yang membawa mesej dari Allah. Ia mengandungi  cerita-cerita nabawiah serta hukum dan peraturan.  Kita tidak akan mencintai  Allah dan Rasul jika kita tidak mencintai kitabNya.  Mengapa tidak?  Tidak tahu membaca AlQuran satu perkara dan tidak memahami apa yang terkandung di dalamnya satu  perkara lagi. Sekurang- kurangnya kita boleh memahami apa yang kita baca melalui terjemahan AlQuran. Kita juga boleh membaca tafsirnya . Tetapi  adakah kita berasa puas setakat hanya membaca terjemahan dan tafsir?. Tentulah lebih seronok dan yakin jika kita boleh membacanya. Kerap membaca dan membaca secara berguru akan memjadikan bacaan kita lebih baik dan betul.  Bacaan yang baik akan diberkati. Bacaan yang salah akan dicela.  AlQuran akan mendampingi  dan menerangi  kita di alam kubur.  Banyak lagi kelebihan membaca AlQuran. Elok mulakan sekarang jika belum lagi membacanya. Mula-mu...

TOUCH N GO

Bagaimana kad TouchNGo digunakan oleh kebanyakan rakyat Malaysia menarik perhatian.  Kadang-kadang  saya rasa pelik melihat gelagat  mereka. Bukan tak tahu menggunakannya tetapi sikap mereka yang selalu tidak sabar dan kurang toleransi. Ramai orang asing yang datang ke Malaysia memuji rakyat Negara ini yang ramah dan sopan tetapi apabila mereka berada di atas jalanraya, sikap dan perangai mereka boleh berubah 360 darjah. Di atas jalan raya Malaysia, kebanyakan rakyat Malaysia kurang sopan, berlagak saperti samseng, jadi pembuli jalanan dan tidak menghirau peraturan jalanraya. Hairannya sikap mereka juga boleh berubah menjadi baik bila berada di Negara orang. Sebagai contoh, Ketua Immigresen diTambak Johor memberitahu rakyat Malaysia boleh bersopan apabila berada di Singapura. Mereka boleh sabar beratur dan menunggu giliran dan arahan berjam-jam tanpa komplen dan buat bising.   Apabila mereka balik dan masuk ke Malaysia, mereka buat bising jika terpaksa menunggu...