Teks : Zyed Ahmad Hassan
Saya dilahirkan di
dalam sebuah keluarga yang sederhana. Peringkat awal kehidupan kami berpindah
randah kerana tiada tempat tinggal yang tetap. Alhamdulillah, suatu hari emak
memberitahu kami dia mendapat hadiah dua bidang tanah kampong dari datuk dan
kami pun berhijrah untuk memulakan hidup baru.
Nama saya Zyed Ahmad
Bin Hassan, anak ke 4 dari 10 orang adik beradik. Anak sulong lelaki yang di
manjakan oleh emak. Selalu saya diingatkan supaya jadi orang pandai, belajar
rajin rajin supaya besar nanti boleh tolong emak abah. Cita cita saya menjadi
seorang Doktor. Dengan kelulusan yang ada saya memohon untuk melanjutkan
pelajaran di tiga buah Universiti. Bidang keutamaan saya ditolak. Saya ditawarkan
untuk program kejuruteraan. Saya juga ditawarkan untuk kursus IT di England tetapi saya pula tidak berminat
ketika itu. Saya merancang tetapi Allah lebih mengetahui. Selepas 4 tahun di
Universiti Putra atas tajaan Kerajaan Negeri Selangor, saya mendapat segulung
ijazah, Bachelor of Engineering. Setelah tamat saya memunafaatkan masa selama 5-6 bulan sebagai Guru
Sementara disusuli dengan tawaran pekerjaan di Jabatan Saliran dan Pengairan
sebagai Jurutera Pelatih Penebat Banjir. Semuanya saperti telah di atur. Beberapa
bulan kemudian saya dimaklumkan bahawa Kerajaan Negeri melepaskan saya dari terma kontrak biasiswa dan saya di bebaskan untuk bekerja di mana
mana.
Karier pekerjaan saya
bermula dengan syarikat GLC Kerajaan. Jawatan pertama saya ialah Jurutera
Pembangunan Produk untuk keperluan industri asas pertanian. Pada peringkat awal
saya terlibat dengan kerja men’tropicalise’kan jentera impot untuk kesesuaian
cuaca tropikal Malaysia. Namun selepas jentera jentera tersebut di terima baik
dalam pasaran, saya di pindahkan ke dalam bidang pemasaran.
Pada awal tahun 80an
negara Malaysia menghadapi krisis ekonomi dan pihak syarikat telah menawarkan
VSS kepada pekerjanya. Saya tidak dibuang tetapi di pindahkan ke sebuah anak
syarikat kumpulan,untuk memasarkan kenderaan Land Rover khusus kepada Jabatan dan Agensi Kerajaan.
Sejak dari masa itu
saya tidak lagi memandang ke belakang. Rezeki saya dalam bidang baru ini. Saya
betatih naik ke puncak karier. Berkat kesungguhan dan kesabaran saya
menghadapai segala rintangan dan birokrasi korporat, menghadiri berpuluh
seminar dan kursus pentadbiran, saya akhirnya di amanahkan untuk meneraju
operasi dan mengepalai syarikat sebagai Pengarah Urusan. Kerjaya saya terlibat dalam membuat jaringan dan hubungan dengan pegawai
kerajaan dan kerap membuat lawatan ke luar Negara. Pada tahun 2008 saya bersara wajib. Atas nasihat kawan baik, seorang Jeneral tentera, saya meneruskan bekerja
secara kontrak tetapi dengan sebuah syarikat Otomotif lain yang mana beliau akan menyertainya kemudian.
Saya memang minat dalam
bidang perniagaan tetapi tiada produk dan tiada kepakaran khusus. Saya berjaya, kalau
nak dikatakan begitu, sebagai seorang pekerja makan gaji. Bukan peniaga. Sejak
dahulu saya berusaha mencari sesuatu perniagaan yang boleh menambah pendapatan.
Namun saya tidak berhasil memilikinya kerana faktor diatas tadi serta dihimpit pula oleh faktor kewangan. Saya
telah mencuba beberapa program jualan langsung. Itu pun saya gagal kerana tiada
kesabaran dan kegagalan mencari ‘downline’. Sejujurnya saya telah
mencuba beberapa program Bekerja Dari Rumah, dari dalam negeri dan luar negara.
Allah juga yang Maha Mengetahui kenapa setiap kali saya menceburi sesuatu
program saya berakhir menggigit jari. Pelaburan saya selalu meleburkan wang
saya dan menyakitkan hati. Orang kata saya pandai tapi tak bijak, emosi, ego
dan sebagainya merupakan faktor kegagalan. Saya akur dengan apa jua akibatnya
kerana ‘ beramal tanpa ilmu itu sesat dan berilmu tanpa amal pula membuang masa’.
Sebab itu lah saya menemui kegagalan selepas kegagalan dalam setiap program
Kerja Di Rumah yang saya ceburi. Pendek
kata kalau kita tiada kepakaran dan tiada minat, amat sukar untuk maju. Untuk
kefahaman yang betul dan mendalam pula kita kena berguru. Belajar sendiri tiada
kesalahannya tetapi kita tidak akan mendapat tip dan rahsia lain yang
tersembunyi. Ini nasihat saya kepada semua dan ini lah juga alasannya kenapa saya di pertemukan dengan ABDR hari
ini. Insya Allah berkat perkongsian yang
telus ini akan merubah sinario yang saya hadapi.
Saya telah membuat beberapa
buah Blog menggunakan template sedia ada. Itu pun masih tidak sempurna kerana
tidak pernah mengikuti sebarang kursus secara formal. Tanpa guru saya jadi
lesu. Buat Blog macam senang tapi hati tak tenang kerana terlalu sikit
pengunjung. Kerana tidak pandai
memilih tajuk dan mungkin juga kandungannya tidak bersesuaian dengan tajuk,
Blog Blog tersebut sukar dicari. Entri saya juga tidak konsisten dan kurang
kemaskini. Sebab itu belajar dan berguru amat mustahak. Blog Pengalaman kembara
dan percutian, saya muatkan didalam Blog Coretan Perjalanan Kembara Kami di https://keagonganilahi.blogspot.my,
manakala untuk mencari dana bagi Pembinaan Masjid Bukit Rimau, saya paparkan didalam Blog berikut: https://hjzyedhjhassan.blogspot.my
, https://zyedhassan.wixsite.com/masjid-bukit-rimau
Saya juga membuat
sebuah Blog http://westpro.wordpress.com atas
usaha saya sendiri untuk menyalurkan maklumat produk untuk syarikat saya
bekerja sekarang. Semua Blog, flyers dan Facebook yang saya buat kerana minat
dan sebagai saluran informasi untuk produk yang ditawarkan syarikat. Semua Blog
dan ‘flyers’ ini yang paling asas
menggunakan template percuma. Harap harap
saya akan belajar sesuatu dari ABDR nanti.
Tahun 2017 ini
merupakan tahun persaraan saya. Saya
terfikir untuk mencari sumber pendapatan secara santai untuk membantu isteri
dan anak anak. Mula mula saya jumpa ABDR dari Google, saya tak hiraukan sangat
sebab Akademi ini untuk kaum hawa dan suri suri rumah. Keinginan saya terjawab
apabila Anysidayu juga membuka peluang kepada kaum Adam. Harapan saya berkat
pertemuan ini, saya mampu menghasilkan Blog yang aktif dan efisyen serta
bermutu. Saya juga berharap dapat menambahbaik Blog saya yang sedia untuk kerja amal. Melalui Dropship pula, saya boleh mencuba
bisnes ‘online'. Saya memang teruja
sangat untuk melihat Blog Bisnes mempunyai ramai pengunjung dan pelanggan.
Saya ingin
memunafaatkan baki usia saya secara ilmiah serta membantu diri saya sendiri dan
mereka yang memerlukan. Saya juga terfikir untuk menerbitkan eBook yang sesuai.
“ Ya Allah permudahkanlah urusan ku”. Saya memang suka menulis dan juga membaca
Buku. Saya juga membaca buku ikut ‘trend’
semasa. Saya membeli, mengumpul dan membaca buku buku mengikut minat saya dalam
bidang Golf, Islam, Kontemporari, Orang Orang Terkenal dan sebagainya. Waktu
zaman persekolahan dulu saya telah menulis untuk Majalah Sekolah. Sekarang saya
sedang belajar Bahasa Arab dari isteri saya seorang pencinta Bahasa Arab. Saya nak 'promote' buku buku tentang pembelajaran Bahasa Arab.
Keputusan saya menyertai Kelas ini memang tepat dan kena pada masa nya. Masih tidak terlambat. Saya berharap dapat mencapai matlamat yang saya simpulkan saperti berikut:
a.
Untuk menambah ilmu tentang kaedah perniagaan ‘online’ kerana saya telah banyak
kali gagal. Saya tidak mahu gagal lagi
b.
Saya ingin belajar bina kedai ‘online’
dan seterusnya menjalankan perniagaan online
c.
Saya berminat untuk buat bisnes dropship
kerana ia santai dan sesuai dengan usia saya. Pada masa yang sama boleh
menghasilkan sedikit pendapatan sampingan.
d.
Hendak memperbaiki cara sebenar mengurus
Blog yang aktif, jumlah trafik yang tinggi serta berkesan.
e.
Mencipta Blog yang benar benar boleh
memberi munafaat kepada pengunjung
f.
Mermbina hubungan social dengan blogger
lain
g.
Yang paling utama ialah Bekerja Dari
Rumah, Jana Pendapatan Tanpa Keluar Rumah
Beginilah catatan ringkas mengenai diri saya. Semoga pembaca dapat mengambil sedikit maklumat berguna. Jumpa lagi.
Comments
Post a Comment